7 Tips Ajar Anak Solat Ikut Peringkat Umur. Sangat Mudah!




Melentur buluh biarlah dari rebungnya, perumpamaan ini boleh kita gunakan untuk mendidik anak-anak untuk belajar menunaikan solat.
Dalam konteks pendidikan awal anak-anak, tanggungjawab untuk mendidik anak untuk bersolat adalah satu amanah yang sangat besar dan berat. Mendidik dan mentarbiyyah anak-anak untuk solat tidak semudah kita mengajar anak ABC atau 123. Tanggungjawab yang besar ini datang dengan pelbagai ujian dan ini memerlukan ibubapa yang bijak.
1) Contoh tauladan yang baik.
Ibubapa adalah contoh terbaik dan terdekat untuk diteladani oleh anak-anak. Ayah yang selalu ke masjid, ibu yang terus bersiap solat ketika mendengar azan dan mendedahkan kepada anak-anak tentang solat berjemaah adalah antara contoh terbaik buat anak-anak.
2) Umur 0 – 2 tahun – Wujudkan suasana yang solehah (Biah solehah)
Walaupun anak-anak masih kecil, tidak mengerti dan tidak faham, namun suasana yang baik dan solehah akan menjadikannya biasa. Dia biasa melihat ibu dan ayahnya solat di awal waktu, solat berjemaah, tahu tentang azan dan mendengar bacaan ayat-ayat al-qur’an. Berkata-katalah dan bercerita dengan anak seperti, ” Tunggu sebelah Ummi ya, Ummi mahu solat.” . Atau ” Terima kasih sayang sebab tunggu Ummi solat.”
3) Umur 2 – 3 tahun – Ajak anak
Sebagai ibu bapa usah merasa jemu untuk selalu ajak anak solat. Biar mereka biasa dengan ajakkan. Walaupun mereka hanya mendengar dan tidak mengikuti, teruskan menyebut setiap kali kita hendak solat. ” Jom ikut Ummi solat!”

4) Umur 4 – 6 tahun – Mengapa kita solat?
Sudah tiba masanya untuk ibubapa bercerita tentang kepentingan solat kepada anak mereka. Penerangan berbentuk cerita dapat memberikan gambaran yang jelas kepada anak-anak.
Dedahkan anak-anak secara kerap tentang masjid. Ajak mereka ke masjid. Perkenalkan tentang adab-adabnya, solat jemaah, hubungan sosial dengan jemaah yang lain dan sebagainya.
Pada umur begini juga ibubapa sudah boleh menghantar mereka ke tadika Islam yang mengajar mereka tentang solat agar mereka lebih faham dan seronok untuk solat.

5) Umur 7 – 9 tahun – Penekanan dan tanggungjawab
Ini adalah tahun-tahun pengukuhan bagi asas solat bagi anak-anak. Kita sudah menunjukkan contoh, ajakan dan pemahaman sejak lahir. Waktu ini anak seharusnya sudah tahu apa yang perlu dilakukan ketika azan, cara mengambil wudhuk, pergerakan dan bacaan dalam solat.
Walaupun tidak lancar dan tidak cekap, sekurang-kurangnya mereka sudah ada asas. Mencapai umur 9 tahun, ibubapa sudah mula sedikit tegas dan selalu mengingatkan mereka untuk solat.

6) Umur 10 tahun ke atas – Denda dan hukuman
Dalam hadith tentang solat, Nabi membenarkan untuk kita memukul anak yang ingkar solat ketika dia berumur 10 tahun. Tetapi sebelum kita memukulnya, adakah kita telah memberikan pemahaman serta contoh terbaik buat mereka?
Tidak semudah itu untuk ibubapa menjatuhkan hukuman dan memukul anak. Semoga kita menjadi pemimpin yang adil dalam menentukan hukuman dan denda terhadap anak-anak.

7) Doa
Selalulah amalkan doa Nabi Ibrahim.
Pelbagai teknik dan cara perlu diterapkan oleh ibu bapa di luar sana dalam mengajak anak bersolat. Kekerasan dan paksaan hanya akan membantutkan proses asas pemahaman solat ini.
Semoga anak-anak kita dapat menunaikan solat yang merupakan ibadat yang utama sebagai seorang muslim. Sebagai ibu bapa kita seharusnya memberi pendedahan solat seawal yang mungkin kepada anak-anak kita mengikut usia mereka.

0 Response to " 7 Tips Ajar Anak Solat Ikut Peringkat Umur. Sangat Mudah!"

Post a Comment