6 Amalan Berpantang Selepas Bersalin Secara Tradisional



Amalan Berpantang Selepas Bersalin
Zaman moden kini, ada wanita yang tidak mengendahkan amalan berpantang selepas bersalin. Namun, bagi mereka yang mementingkan kesihatan dan kecantikan diri, amalan berpantang dikatakan dapat mengembalikan mereka seperti anak dara.
Masyarakat Melayu biasanya mengamalkan tempoh berpantang antara 40 hingga 44 hari. Hal ini berkait rapat dalam amalan Islam kerana tempoh nifas sehingga 40 hari dan maksimum 60 hari. Malah, ada juga yang sampai 100 hari terutama bagi mereka yang berasal daripada keturunan Jawa.
Samada 44 hari atau 100 hari, itu terpulang pada masing-masing. Yang penting, ibu dan bayi sihat!
Apakah tujuan berpantang?
Hal ini demi kebaikan kesihatan wanita itu sendiri pada kemudian hari. Badan nak pakai lama bak kata orang tua-tua. Sang suami masih kelihatan gagah, kacak bergaya walaupun rabun sudah mula beruban. Sementara si isteri sudah tidak berdaya lenguh sakit sana-sini.
Amalan berpantang dalam masyarakat melayu dapat mengembalikan bentuk badan dan kecergasan diri wanita tersebut.



Foto Kredit: rohaisha.blogspot.com


Makanan semasa berpantang
Di Malaysia, terdapat pelbagai versi makanan berpantang. Ia berbeza mengikut negeri dan budaya masing-masing. Makanan berpantang keturunan jawa tidak sama dengan makanan berpantang keturunan minangkabau.
Namun, terdapat persamaan makanan berpantang orang melayu. Di antaranya ialah :
1. Ikan haruan
Memakan ikan tawar seperti ikan haruan yang kaya dengan asid amino dan asid lemak dapat mempercepatkan proses penyembuhan dalaman dan luaran buat ibu selepas bersalin. Zat lain yang terkandung pada ikan haruan ialah vitamin A dan kolagen yang dapat mencantikkan kulit secara semulajadi.
2. Makanan laut
Majoriti masyarakat melayu tidak akan menyentuh makanan laut sepanjang tempoh berpantang kerana ia boleh menyebabkan alergi dan kegatalan.
3. Makanan sejuk
Makanan sejuk seperti timun, kelapa muda, kangkung dan tebu perlu dielakkan buat ibu selepas bersalin kerana ia menyebabkan sakit lemah sendi, artristis dan reumatisme.
Bagaimana kalau keguguran? Boleh juga makan yang sama seperti orang berpantang.


Foto Kredit: bianca.embracinglabor.com
Amalan berpantang secara tradisional
Penjagaan orang Melayu semasa berpantang dilakukan kerana untuk membantu memulihkan keadaan si ibu yang keletihan dan lemah selepas melahirkan bayi. Hal ini menyebabkan diri wanita itu menjadi ‘sejuk’. Justeru, tradisi turun-menurun seperti berurut, bertungku, berbengkung, mandian herba, bertangas dan memakan jamu masih diamalkan masyarakat melayu hingga hari ini.
1. Berurut
Tujuan berurut selepas bersalin ialah untuk melancarkan perjalanan darah dan membetulkan urat yang tegang dan juga putus selepas melahirkan bayi. Selain itu, berurut juga dapat membuang angin dan memecahkan lemak yang terkumpul. Proses sengkak semasa berurut ialah ‘mengangkat’ salur peranakan ke tempatnya dan dapat menyingkirkan darah kotor yang masih ada dalam rahim.
2. Mandian Herba
Selepas diurut, badan ibu akan dilulur dengan campuran rempah ratus untuk menghaluskan kulit dan menyingkirkan sel-sel mati. Selepas itu, mandian herba yang dicampur dengan akar-akar kayu dan rempah yang direbus akan menyegarkan lagi tubuh ibu
3. Bertungku
Amalan bertungku masyarakat melayu hampir sama seperti teknik ‘hot stone massage’ di kalangan masyarakat barat. Ia biasa dilakukan sebelum memakai bengkung. Sebiji batu sungai atau tungku besi yang telah dipanaskan dan dibalut dengan kain akan dituam ke seluruh bahagian badan.
4. Berbengkung
Seluruh badan ibu akan disapu dengan herba dan dibalut dengan kain bengkung yang diperbuat daripada kain kapas dari paras bawah dada hingga bawah punggung setiap hari sepanjang tempoh berpantang. Terdapat pelbagai jenis bengkung seperti bengkung jawa, bengkung tali dan korset.
5. Bertangas
Terdapat 5 jenis tangas iaitu tangas duduk, tangas kering, tangas basah, tangas wangi dan tangas rempah. Setiap satunya mempunyai kelebihan dan ramuan herba yang berlainan.
6. Jamu
Pelbagai jenis rempah dan herba digabungkan dalam bentuk jamu. Bagaimanapun, ibu yang menyusukan bayi digalakkan berhati-hati kerana memberi kesan kepada susu dan juga bayi. Sesuai diamalkan selepas habis tempoh berpantang.
Selepas berpantang, jangan lupa dapatkan petua menghilangkan perut buncit selepas bersalin. Baru nampak seperti sediakala.

0 Response to " 6 Amalan Berpantang Selepas Bersalin Secara Tradisional"

Post a Comment